Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


PAMERAN hartanah MyRumah 2019 bakal menemui penduduk di daerah Kuantan khususnya dan amnya bagi seluruh rakyat Pahang, 20 hingga 22 September ini.

Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew berkata, pameran yang julung kali diadakan di negeri Pahang sejak 2016 dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung yang ingin mendapatkan aset hartanah idaman mereka.

Katanya, pameran itu akan berlangsung di Kuantan City Mall (KCM), Kuantan selepas tiga siri pameran yang diadakan sebelum ini di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.

“Lebih 1,437 unit rumah kediaman dan hartanah komersial dengan jumlah keselurahan hartanah bernilai RM323.6 juta ditawar pada ekspo MyRumah Kuantan.

“Ia bermula seawal 10 pagi hingga 10 malam dan kita jangkakan sekurangnya 20 unit hartanah dapat dijual pada tiga hari ekspo berlangsung.

“MyRumah 2019 menawarkan hartanah dari serendah RM120,000 hingga RM1.58 juta,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada wakil pemaju dan media di Kuantan, hari ini.

Hadir sama Pengarang Eksekutif (Komersial) Harian Metro, Husain Jahit.

Roche berkata, MyRumah 2019 yang dianjurkan kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) serta disokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bakal menjadi platform kepada penasihat hartanah dan bakal pembeli mendapatkan gambaran luas mengenai sektor terbabit.

Katanya, MyRumah 2019 turut menampilkan beberapa pakar dan penasihat hartanah untuk berkongsi serba sedikit mengenai tips pembelian hartanah dan nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada mereka yang ingin membuat pelaburan dalam sektor itu.

“Enam pemanju iaitu KPKT/ Jabatan Perumahan Negara (JPN), Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan UDA Land (East) Sdn Bhd mengambil bahagian.

“Pameran ini juga akan disertai Amanah Raya Berhad Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful IKHLAS,” katanya.

Katanya, pameran hartanah MyRumah 2019 mengetengahkan konsep 4E iaitu pembelajaran, pameran, persekitaran dan pengalaman bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:09 PM
KUANTAN 13 SEPTEMBER 2019. Pengurus Besar Pengiklanan The New Straits Times Malaysia Berhad (NSTP), Roche Chew (dua dari kanan) bergambar bersama peserta pameran selepas sidang media Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Hotel Grand Makmur. NSTP/ZULKEPLI OSMAN